Tidur lelaki di tepi perigi,
Di dalam rumah susah nak lena;
Mencari rezeki di pagi hari,
Buat bekalan kami sekeluarga.
Sarang lebah besar sekali,
Takut termakan burung tempua;
Marah abah setiap hari,
Buat pedoman kami semua.
Masak gelama bersama kari,
Terlebih gula rasanya manis;
Sejarah lama teringat kembali,
Kerana kami abah menangis.
Burung enggang di dalam hutan,
Cari makan sampai tak dapat;
Tali pinggang menjadi rotan,
Buat ingatan sepanjang hayat.
Jatuh kolam tangan terkulai,
Bawa hospital sampai ke pekan;
Tiada kalam lebih bernilai,
Hanya sayang kami tuturkan.
Buat tempe dengan ragi,
Hanya guna air segelas;
Penat abah kami rasai,
Hanya Allah akan membalas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan