Dasawarsa ini,
negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan modenisasi sehingga mengalami pembangunan yang pesat
sekali. Sehubungan dengan itu, permainan tradisional turut dipandang enteng dan
dikesisikan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Hal ini berkait rapat dengan perkembangan permainan
komputer dan permainan siber yang popular dalam kalangan remaja dan belia kita.
Adakah kita sanggup membiarkan khazanah kebudayaan kita ditelan dalam
pengedaran zaman dan lenyap dalam bumi kita? Tepuk dada tanya selera. Sebelum nasi menjadi bubur, kita perlu
mencari pendekatan yang efisien untuk membangkit permainan tradisional di
negara kita semula, seperti peribahasa, “di mana batang terguling, di situ
cendawan tumbuh.”
Sesungguhnya, Kempen Cintai Permainan Tradisional merupakan salah satu alternatif yang ampuh
untuk mengembang permainan tradisional
di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara besar-besaran dengan kerjasama pihak
media massa, terutamanya media cetak dan media elektronik, iaitu surat khabar
dan pihak televisyen. Pihak berkenaan perlu menyiarkan dokumentari dan rencana untuk memperkenalkan permainan
tradisional di negara kita, seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan cara
bermain, pihak media perlu menyedarkan
orang ramai tentang kepentingan permainan tradisional terhadap masyarakat dan
negara. Pelbagai aktiviti harus
dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti
peraduan karang-mengarang,
pameran, dan peraduan poster dan sebagainya, bak kata peribahasa, “ tak
kenal maka tak cinta.” Lantarannya
golongan muda pasti terpengaruh oleh kempen tersebut dan berminat terhadap permainan tradisional
kita.
Selain itu, pihak
sekolah perlu menjadikan permainan tradisional sebagai kegiatan kokurikulum di
sekolah. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah harus digalakkan supaya
menubuhkan kelab atau persatuan permainan tradisional. Berpaksikan kelab permainan tradisional,
pelajar boleh diajar tentang cara
membuat alat permainan, cara bermain dan lain-lain lagi. Setelah disuntik ilmu itu, pelajar akan berminat
untuk melibati permainan tradisional tersebut. Generasi muda merupakan tunjang yang bakal
mewarisi pucuk kepimpinan dan mewarnai masyarakat kita kelak. Nescaya pelibatan
pelajar secara langsung dalam permainan
tradisional dapat memajukan permainan tersebut di tanah air kita daripada
membiarkan seni budaya kita terus lenyap dan pupus begitu sahaja. Bak kata peribahasa, “di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan”, atas komitmen pihak sekolah, putera-puteri yang
sedang berjuang dalam medan ilmu pengetahuan dapat bergiat aktif dalam
permainan tradisional untuk melegakan tekanan
sebagai kegiatan riadah.
Sementelahan pula,
pertandingan merupakan inisiatif yang dominan untuk membangkit permainan
tradisional dalam masyarakat kita. Hal
ini demikian kerana sebagai fitrah, manusia
memang suka bertanding dan berlaga. Lantarannya, pihak Kementerian
Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Pelancongan Malaysia dan agensi
kerajaan boleh bergabung dengan korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis untuk
menganjurkan pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah,
kebangsaan hingga antarabangsa. Salah
satu contoh yang terbaik ialah Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir
Gudang , Johor. Pertandingan layang-layang itu berjaya menarik
peminat-peminat permainan tersebut dari
seluruh dunia untuk mengambil bahagian. Hal ini berjaya mempromosikan
pelancongan dan permainan tradisional kepada pelancong asing, selaras dengan
peribahasa, “menyelam sambil minum air”.
Secara intihanya, permainan
tradisional harus dilestarikan supaya tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang
dek panas. Jika semua pihak bersikap acuh tak acuh dan hanya melepaskan batuk
di tangga, khazanah budaya kita pasti akan lenyap di bumi kita. Ingatlah
peribahasa, “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan