peneroka yang mencari ilmu

peneroka yang mencari ilmu

Sabtu, 13 April 2013

PUTERI GUNUNG LEDANG


Setiap rakyat Malaysia pada hari ini, boleh dikatakan mengetahui akan lagenda yang satu ini, Puteri Gunung Ledang. Gunung Ledang, sebuah gunung yang terletak di sempadan daerah Muar, Johor dan Melaka dan kini menjadi lokasi terkenal sebagai destinasi pelancongan. Namun lagenda mengenai seorang puteri yang cantik jelita yang menjaga gunung tersebut, yang sehingga kini dipercayai masih mendiaminya terus menyelubungi gunung tersebut.
Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka yang kelapan pada ketika itu baru sahaja kemangkatan permaisurinya, Tun Kecil dan meninggalkan bakal pewaris takhta, Raja Ahmad yang masih kecil. Hibanya tidak terkata mengenangkan isteri yang telah tiada meskipun baginda mempunyai isteri-isteri yang lain, Tun Teja puteri dari Pahang serta Puteri Onang Kening, anakanda Sultan Mansur Syah dari Kelantan. Tetapi hatinya masih sunyi terasa seakan Istana Mahligai yang didiaminya itu terlalu kosong dan tidak berpenghuni. Keadaan ini membuatkan baginda sudah berberapa hari tidak menjengah Balai Rong Seri untuk bertemu para pembesar negeri. Ini amat menggusarkan hati para pembesar terutamanya Bendahara Tun Perpatih Sedang dan Laksamana Hang Tuah, dua pembesar yang amat dihormati dan berpengaruh di istana Melaka.
Namun apa yang berlaku pada suatu malam merubah segalanya apabila baginda bermimpikan seorang perempuan yang terlalu cantik paras rupanya muncul dan berasyik masyuk dengan baginda. Terlalu luar biasa akan rupa perempuan itu, membelai dan menggoda baginda sehinggakan baginda seakan tidak mahu langsung terjaga dari mimpinya. Menjelang matahari memancar di ufuk timur, segera baginda menitahkan agar dipanggil nujum istana dan lalu ditanyakan, siapakan perempuan tersebut yang muncul didalam mimpinya itu. Lalu dari telus tilikan sang nujum, lalu dikhabarkan, perempuan itu adalah Puteri Gunung Ledang, penjaga Gunung Ledang yang telah mendiami gunung tersebut sejak ratusan tahun yang lalu. Selama ini baginda hanya mendengar akan cerita orang mengenai puteri itu tetapi melalui mimpinya itu, baharulah baginda tahu yang puteri itu terlalu cantik orangnya.
Titah baginda menggemparkan istana, Sultan Mahmud berkehendakkan puteri itu dan dijadikan Permaisuri. Titah itu seakan mustahil tetapi titah tetaplah titah, yang juga mustahil untuk dibantah. Puteri Gunung Ledang akan dilamar dan akan menjadi Permaisuri Melaka. Jika benar puteri itu menerima pinangan baginda, bertambah gahlah Kerajaan Melaka, yang sultannya beristerikan seorang puteri dari kayangan. Maka, sebuah rombongan peminangan diadakan, diketuai oleh Laksamana Hang Tuah sendiri yang pada ketika itu telah pun tua, diiringi oleh Sang Setia serta ketua orang Inderagiri bernama Tun Mamat, yang dikatakan mahir dengan selok-belok didalam hutan. Segala hantaran peminangan disiapkan untuk dipersembahkan kepada Puteri Gunung Ledang, dengan harapan puteri itu bakal menerima pinangan baginda.Maka menjelang subuh sesudah rombongan tersebut mengerjakan solat di Masjid Istana, mereka berangkat menuju ke arah selatan, dimana Gunung Ledang dikatakan terletak. Setelah berberapa hari berjalan kaki meredah hutan, rombongan itu yang dianggotai oleh Laksamana Hang Tuah, Sang Setia, Tun Mamat dan berberapa orang pengiring kini dapat merasakan perubahan cuaca disekeliling mereka. Udara dirasakan semakin sejuk dan dingin dan tahulah oleh mereka yang kini mereka sedang menaiki gunung tersebut.Mungkin para pengiring yang lain masih gagah untuk meneruskan perjalanan ini untuk bernerapa hari lagi, tetapi ini menjadi tugas yang agak sukar bagi Hang Tuah. Hang Tuah ini bukanlah lagi Hang Tuah yang dulu terkenal dengan kegagahannya, menumpaskan Hang Jebat yan derhaka. Membinasakan pahlawan Jawa, Taming Sari dan membolot kerisnya yang kini tersisip di pinggangnya. Hang Tuah ini telah pun dimakan masa, yang kini berada diambang senja. Terlalu penat dan lemah untuk terus mendaki gunung yang gagah dan angkuh ini.Dan keadaannya ini disedari oleh Tun Mamat. Risau benar dia melihat keadaan Laksamana tua itu yang kelihatan teramat lelah dan tercungap-cungap. Akhirnya, pada suatu tempat perhentian di pertengahan jalan ke puncak gunung, Tun Mamat mengusulkan biarlah dia sahaja dan pengiring yang lain meneruskan perjalanan. Sementara Sang Setia akan menemani Laksamana di pertengahan jalan. Tapi, ini terlalu sukar bagi Laksamana ini untuk menerima usul dari Tun Mamat itu. Diakan Laksamana, selama ini mana pernah titah dan tugas dari Baginda Sultan gagal disempurnakan? Dia adalah Hang Tuah, pahlawan teragung Kerajaan Melaka. Tapi...kini, keadaan dirinya benar-benar menyedarkan dia sebenarnya hanyalah manusia biasa yang punya kudrat dan fitrah yang terhad.Dengan berat Laksamana Hang tuah terpaksa mengiakan akan cadangan Tun Mamat itu. Laksamana Hang Tuah yang terkulai lemah di banir sebatang pokok besar , sambil ditemani Sang Setia, memerhatikan dengan rasa kecewa sebaik Tun Mamat dan pengikut-pengikut yang lainnya mula mengorak langkah menuju ke puncak gunung hingga hilang dari pandangan mata. Senja mula menjengah hari. Sudah terasa agak lama berjalan mendaki semenjak meninggalkan Laksamana Hang Tuah dan Sang Setia. Dan udara bertambah menggigit sejuknya. Namun, Tun Mamat mula menyedari kelainan akan keadaan hutan disekeliling mereka. Mereka tidak lagi dikelilingi oleh pepohon hutan yang besar mahupun akar rotan yang berselirat disana sini, sebaliknya, muncul rimbunan pokok bunga yang pelbagai warna dan rupa. Malah udara yang mereka hirup bukan setakat dingin dan sejuk malah berbau harum pula.Tun Mamat merasai keanehan itu. Mereka tidak lagi berada disebuah hutan belantara sebaliknya disebuah taman yang terlalu indah. Lagi anehnya, suara merdu nyanyian bersyair dan gurindam mendayu-dayu disana sini. Namun apa yang benar-benar menarik perhatian Tun mamat dan engiringnya adalah apa yang berada nun dihujung taman, berada diatas puncak sebuah bukit kecil. Terdapat sebuah balai kecil yang menjadi pusat kepada taman tersebut dan apa yang menariknya tentang balai itu, ia dibina dari tulang manusia dan berbumbungkan rambut!Dan kedengaran suara-suara perempuan sedang bergurau senda dari arah itu, lantas membawa langkah Tun Mamat menghampirinya. Apabila telah benar-benar berada diperkarangannya, dapat dilihat seorang perempuan tua bersama berberapa orang perempuan lain sedang duduk bergurau senda. Tapi, sebaik menyedari akan seorang lelaki asing menghampiri balai itu, gurau senda dan bualan mereka terhenti serta merta. Pandangan mata mereka terpaku kepada kehadiran Tun Mamat yang sedang menanti di muka tangga balai tersebut.Tun Mamat memperkenalkan dirinya sebagai utusan dari Sultan Mahmud Syah, Sultan Melaka yang membawa titah peminangan dari Baginda untuk Puteri Gunung Ledang. Sebaik mendengar akan kata-kata Tun Mamat itu, lantas perempuan tua itu memperkenalkan diri bahawa, beliau adalah Dang Raya Rani, ketua dayang-dayang istana Puteri Gunung Ledang, dan gadis-gadis lain yang bersamanya adalah dayang-dayang baginda. Setelah akan mendengar hajat Tun Mamat itu, Dang Raya Rani meminta untuk berlalu supaya kehadiran Tun Mamat dapat dipersembahkan kepada Puteri Gunung Ledang.Hinggalah menjelang tengah malam, masih belum muncul Dang Raya Rani itu. Entahkan ya entahkan tidak, mereka itu dayang-dayang Puteri Gunung Ledang, perasaan curiga mula bercambah dihati Tun Mamat dan pengiring-pengiringnya. Tetapi, tiba-tiba, dari celah-celah rimbunan pohon yang membanjiri taman tersebut, muncul seorang nenek tua. Tapi nyata, yang ini, bukanlah Dang Raya Rani yang dilihatnya petang tadi. Sebaliknya nenek tua ini sudah pun bongkok tiga hingga seakan terlipat belakangnya. Dia berjalan menghampiri Tun Mamat yang mula berdiri di tangga balai sebaik menyedari kemunculan nenek tua itu.Tanpa memberi peluang untuk Tun Mamat memperkenalkan diri, nenek tua itu seraya berkata yang beliau membawa titah dari Puteri Gunung Ledang, yang baginda menerima akan lamaran baginda tapi Baginda Sultan perlu memenuhi syarat-syarat tertentu sebagai hantaran perkahwinan iaitu"Sebuah jambatan emas yang dibina dari istana Melaka hinga ke puncak Gunung Ledang, sebuah jambatan perak yang dibina dari puncak Gunung Ledang hingga ke istana Melaka, tujuh dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati kuman, tujuh tempayan air mata anak dara, tujuh tempayan air pinang muda dan semangkuk darah Raja Muda"Terbeliak mata Tun Mamat mendengar akan syarat-syarat tersebut tetapi dia sebaik mungkin cuba menyembunyikan perasaan itu. Kalau difikir dan diamati, semua syarat itu semuanya mustahil untuk dipenuhi, dan kalau benar pun, ia tentu mengambil masa bertahun-tahun untuk disempurnakan...Sepanjang malam selepas nenek tua itu menghilangkan diri, sepatutnya setelah penat seharian mendaki gunung, pastinya mudah untuk melelapkan mata, mencari kembali tenaga sebelum mendaki turun menjelang subuh esok. Tapi tidak bagi Tun Mamat. Pelbagai perkara bermain difikirannya, tentang taman bunga dipuncak gunung, tentang balai tulang itu, tentang Puteri Gunung Ledang dan tentunya tentang syarat-syarat aneh tersebut....Entahkan bila matanya terlelap, Tun Mamat sendiri tidak sedar. Menjelang matahari mula memancar, Tun Mamat bersama pengiring-pengiring dan barang hantaran yang sepatutnya dipersembahkan kepada Puteri Gunung Ledang, mula mengorak langkah mendaki turun dari puncak gunung. Mereka akan bertemu kembali Laksamana Hang Tuah dan Sang Setia di tempat dimana mereka ditinggalkan semalam.Laksamana Hang Tuah menunduk apabila mengenangkan syarat-syarat yang dinyatakan oleh Tun Mamat. Dalam diam, Laksamana tahu akan maksud yang tersirat disebalik syarat yang dinyatakan oleh Puteri Gunung Ledang. Dan demi itu juga, Laksamana tua itu juga sedar, dia telah gagal. Gagal menjalankan titah Baginda Sultan dan ini tidak bermakna lagi bagi dirinya untuk pulang ke Melaka, menyembah Baginda Sultan. Maka sebaik sahaja rombongan peminangan itu tiba di kaki Gunung Ledang dimana terletaknya sebatang anak sungai, Hang Tuah berpesan kepada Tun Mamat"Seandainya sungai ini bermuarakan Sungai Melaka, nescaya hamba akan muncul di Melaka, tapi seandainya tidak, nescaya hamba telah pun tiada. Sesungguhnnya khabarkan kepada Baginda Sultan hamba telah gagal menjalankan titah dan berasa amat aib untuk mengadap Baginda"Setelah menyerahkan Keris Taming Sari kepada Tun Mamat untuk diserahkan kembali kepada Sultan Mahmud, Hang Tuah mencecahkan kakinya ke air sungai tersebut dan meranduk airnya hingga hilang dari pandangan sekelian ahli rombongan tersebut...Semenjak itu tidak lagi didengari sebarang khabar berita dari Laksamana yang banyak jasanya itu.

Tiada ulasan: